|
 Oleh: GreenHood
"Engagement," adalah salah satu perkataan yang mudah bagi menggambarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menyebut tentang ATM, mereka perlu melakukan "engagement" terhadap musuh yang mengancam keselamatan negara.
Sama ada "engagement" berbentuk kekerasan dengan menggunakan segala senjata yang ada mahu pun dengan tangan yang kosong bagi menentang musuh.
Pendek kata, ATM akan menjadi barisan hadapan dan pada masa yang sama benteng terakhir mempertahankan kesejahteraan, kedaulatan dan kemerdekaan negara serta rakyatnya.
Tetapi bagaimana jika yang dihadapi oleh negara adalah rakyatnya sendiri?

Perkara ini bukanlah suatu yang mustahil berlaku.
Dalam sejarah peradaban Asia moden, Thailand dan Filipina adalah dua negara contoh yang sering mengalami pergolakan politik hingga memaksa campurtangan tentera. Kemboja pula merupakan negara yang lewat terlepas dari cengkaman pemerintahan rejim tentera seperti juga Burma. Indonesia terpaksa melepaskan Timur Laste serta memberi otonomi kepada Acheh setelah bergelut sekian lama dengan pemberontakan "rakyat" nya sendiri.
Kesemua negara yang disebut di atas menggunakan tentera sebagai "the last defence" dalam mengatasi ancaman yang hadir dari "rakyat" nya sendiri.

Bagaimana pula dengan Malaysia?
Alhamdulillah, setakat ini tiada penglibatan besar-besaran ATM dalam menghadapi ancaman yang hadir dari rakyatnya sendiri selepas "zaman komunis" berjaya dikekang dan hanya satu kes terpencil pernah direkodkan penglibatan ATM berlaku iaitu "peristiwa al-maunah".
Melihat kepada negara-negara tetangga yang pernah menghadapi tentangan dari rakyatnya sendiri, Malaysia di bawah pentadbiran YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berusaha melakukan transformasi terhadap setiap perkara termasuklah politik, ekonomi dan pentadbirannya.
Penganalisis politik ada menyebut bahawa pembaharuan yang mahu dibawa oleh Najib lebih bersifat holistik.
Terdapat beberapa perkara yang dititikberatkan oleh Najib sewaktu melancarkan "Simulasi Strategi Lautan Biru" atau "Blue Ocean Strategy Simulation (BOSS)" terutama mereformasikan 8 perkara tidak lama dulu.


Demikian itu ATM tidak terkecuali.
ATM telah secara langsung mengguna-pakai BOSS dalam beberapa perkara seperti yang dimahukan Najib itu antaranya adalah kerjasama PDRM-ATM dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
ATM turut dilaporkan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membuka pusat pemulihan tahanan dalam cubaan menggantikan pusat penjara berkawalan tinggi dalam menjimatkan kos dan pada waktu yang sama menggunakan sumber tenaga yang maksimum tapi untuk kos yang lebih murah terutama bagi pihak penjara, ATM dan tahanan itu sendiri.
Berbalik kepada perkataan "engagement", dilihat dewasa kini pentadbiran ketenteraan melalui kementeriannya iaitu Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH) berusaha keras melakukan "engagement" dengan rakyat tetapi bukanlah dengan kaedah kekerasan yang bersifat "red ocean", sebaliknya melalui "kemesraan" yang ditunjukkan oleh ATM kepada rakyat.
ATM dan rakyat perlu saling faham memahami antara satu sama lain. Mereka perlu mesra atau "kelihatan mesra" kerana rakyat yang tidak begitu memahami fungsi dan tugas sebenar ATM boleh mengundang persepsi yang sangat negatif apatah lagi jika mereka (rakyat) "dicucuk" oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab mahu mewujudkan kekecohan dan keganasan.

Sebab itu apabila diadakan satu karnival yang dipanggil sebagai "Karnival 1MINDEF" baru-baru ini di Stadium Mini Mersing, Johor jelas kelihatan sambutan hangat oleh penduduk sekitar Mersing mahupun Johor yang hadir mahu menyaksikan apa juga yang dipersembahkan oleh ATM dan seterusnya merapati serta beramah-mesra bersama tentera.
YB Dato' Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan yang hadir merasmikan karnival tersebut jelas memberi contoh terbaik apabila selesai saja merasmikan karnival tersebut telah diiringi oleh tentera-tenteranya untuk menjamu selera di dalam bangunan MATIC di hadapan stadium. Bangunan MATIC yang siap berhawa dingin itu telah ditolak oleh Abdul Latiff sebaliknya beliau hanya mahu makan di bawah khemah yang panas tetapi terbuka untuk sama-sama bersama dengan tentera dan rakyatnya. Ini memaksa petugas yang menyediakan makanan terpaksa mengubah kedudukan jamuan khas VIP dalam kadar yang segera.


Walaupun mungkin Abdul Latiff memberi perasaan tidak senang kepada petugas, tetapi dipandangan khalayak umum itu adalah satu pendekatan yang sewajarnya oleh seorang yang berstatus “wakil rakyat” yang mendahulukan rakyat dan pada masa yang sama mengajak tenteranya untuk bergaul mesra dengan awam.
Sesungguhnya, pendekatan ATM ini adalah satu "engagement" terbaik yang pernah dilakukan oleh mereka sepanjang penubuhannya sesuai dengan dasar BOSS yang dimahui oleh Najib sendiri.
“Engagement” inilah senjata ampuh ATM yang boleh melunturkan hati keras rakyat yang boleh bertukar pada bila-bila masa menyebabkan pertumpahan darah dilihat dari sejarah negara-negara tetangga kita diawalan tulisan ini.

|