Tahun 2014 menyaksikan krisis kepimpinan di Selangor yang berakhir dengan episod peletakan jawatan secara ‘paksa’ Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar dan digantikan dengan seteru politiknya, Mohamed Azmin Ali.

Bermula dengan ‘Langkah Kajang’, satu demi satu reputasi Abdul Khalid yang menerajui kepimpinan kerajaan negeri Selangor sejak 13 Mac 2008 dicalarkan oleh partinya sendiri, PKR.

Kemelut dalaman PKR membawa kepada pemecatan Abdul Khalid daripada parti itu pada 9 Ogos lepas kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat yang mencalonkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.



Abdul Khalid, 68, seterusnya menerima pelbagai tekanan untuk menjelaskan isu berkaitan elaun baharu menteri besar; kenaikan cukai bagi lesen perniagaan; isu pinjaman beliau dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang akhirnya ‘akur’ untuk berundur tetapi hasratnya terbantut apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguh untuk menerima peletakan jawatannya sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Kemelut politik dalaman PKR itu kemudiannya menjadi virus dan mencetus pergeseran antara parti dalam pakatan pembangkang iaitu PKR, Pas serta DAP apabila empat anggota Exco kerajaan negeri daripada Pas digelar 'pengkhianat' oleh DAP. Ini kerana masih bersama-sama Abdul Khalid dalam menjalankan pentadbiran negeri sedangkan enam lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR telah meletak jawatan.

Istana turut menerima tempias kemelut itu sehingga Sultan Sharafuddin menitahkan agar setiap parti dalam pakatan itu menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon menteri besar baharu untuk pertimbangan baginda.

PKR dan DAP bagaimanapun tetap berdegil apabila hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menteri besar baharu. Pas sebaliknya akur dengan titah baginda dengan menghantar tiga nama calon yang baharu tetapi nama Dr Wan Azizah tidak berada dalam senarai itu.

Kedegilan PKR dan DAP menyebabkan Sultan Selangor amat dukacita dan krisis jawatan menteri besar itu menurut baginda, telah membuka mata dan hati serta pandangan baginda terhadap situasi politik Selangor.

Teka teki siapa pengganti Abdul Khalid bagi mengisi jawatan tertinggi pentadbiran Selangor akhirnya terjawab apabila Mohamed Azmin Ali, 50, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada 23 September lepas.

Sejurus menerima tanggungjawab baharunya, Mohamed Azmin dilihat mengambil pendekatan popular terutama dalam isu membabitkan jalan dan sampah sehingga beliau berani mendedahkan nombor telefon bimbitnya di media sosial meminta penduduk tempatan
menghantar mesej kepadanya jika melihat sampah yang belum dikutip.

Setelah melepaskan jawatan menteri besar, Abdul Khalid terus ‘diserang’ apabila beberapa pihak mendakwa pembayaran pampasan berjumlah kira-kira RM2.6 juta kepada lapan pegawai beliau yang dilantik Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) tidak dibuat mengikut
tatacara dan prosedur betul.

Dalam suasana yang mula tenang, rakyat Selangor dikejutkan dengan tindakan Sultan Sharafuddin menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ yang dikurniakan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 November lepas.

Penarikan darjah kebesaran itu turut berasaskan kepada tindakan Anwar dalam hal-hal berkaitan isu agama Islam yang telah dimaklumi umum bahawa Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti mana termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Selangor 1959.

BERNAMA