PAS Negeri Melaka kesal dengan kejadian kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 sehingga ianya menyusahkan semua pihak.

Pesuruhjayanya, Adly Zahari berkata kebocoran soalan peperiksaan UPSR 2014 amat dikesali dan ianya sesuatu yang dapat dihindari jika semua pihak mengambil langkah-langkah pencegahan dari awal.

"Saya amat simpati kepada ibu bapa, murid, guru dan pentadbir yang telah bertungkus lumus menjaga amanah dan diharap mereka bersabar".



"Pihak kementerian harus bertanggungjawab untuk memastikan isu soalan bocor ini tidak terus berulang. Mereka yang didapati membocorkan soalan wajar diambil tindakan." ujar beliau.

Adly berkata sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sebagai satu-satunya penilaian kepada seseorang pelajar juga menjadi pendorong kepada kebocoran kertas soalan UPSR tersebut.

"Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menganggap beliau disabotaj adalah bersifat peribadi dan mementingkan diri. Murid, Ibu Bapa dan Guru-Guru sebenarnya lebih terkesan."

"Saya mengingatkan diri saya dan warga Malaysia, membocorkan soalan adalah suatu kesalahan dan memanjangkan soalan bocor dan  jawapannya adalah juga suatu kesalahan" tegas beliau.

Semalam Kementerian Pendidikan mengesahkan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris telah bocor dan pelajar-pelajar yang terlibat dikehendaki menduduki semula peperiksaan tersebut.

http://www.harakahdaily.net