Polemik tentang sekolah vernakular, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagai penyebab kepada perpaduan yang tidak utuh di negara ini, timbul sekali lagi. Pihak yang menyalahkannya mendakwa pengelompokan murid Cina yang ramai sebagai penyebabnya. Kaum Cina dalam tindak balasnya menyangkal keras sebab itu.

Sebenarnya tiga aliran persekolahan di sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) memperlihat kecenderungan begini. Sebanyak 88 peratus enrolmen di SJKC terdiri daripada murid Cina dan yang selebihnya terdiri etnik bukan Cina. Ia termasuklah Melayu, India, Siam, Orang Asli, Iban dan Kadazandusun.

Di SK, murid Melayu meliputi 94 peratus daripada enrolmennya. Yang selebihnya terdiri daripada murid bukan Melayu. Di SJKT, hampir kesemua muridnya adalah etnik India.



Dengan sifat homogen ini, sudah tentu semua sekolah ini tidak mampu memperlihat kepelbagaian jitu yang bukan saja diperlukan bagi menonjolkan citra masyarakat majmuk yang bersatu. Ia juga gagal mewujudkan suasana pergaulan seimbang yang sangat dikehendaki untuk memupuk dan melestarikan perpaduan yang menyeluruh.

Usaha kurang berjaya

Usaha untuk menyatukan murid ini sewaktu di sekolah menengah didapati kurang berjaya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui polarisasi pelajar yang ketara di sana, yang berlanjutan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan tempat bekerja.

Di sekolah menengah inilah, murid SJKC mula dilabel sebagai kurang sikap perpaduannya. Ini kerana mereka didapati hanya bergaul dengan yang sesama SJKC. Hal ini didapati ada kaitan yang rapat dengan ketidakcekapan mereka berbahasa Melayu.

Sehubungan ini, boleh dikatakan hampir semua murid SJKC kurang fasih berbahasa Melayu. Malah, ada yang boleh dikategorikan sebagai tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Dengan kekurangan ini, sudah tentu mereka tidak mampu berkomunikasi dengan berkesan dengan murid dari SK, khususnya yang Melayu.

Dalam hal ini, mereka boleh berbahasa Mandarin saja. Oleh itu, komunikasi mereka terbatas sekali. Ia hanya berlaku sesama mereka.

Untuk memburukkan keadaan ini lagi, kelakuan begini dipersepsikan bukan saja sebagai sikap perkauman yang cauvinis. Ia ikut dianggap sebagai etnosentrisme Cina yang bongkak.

Semua ini kelihatan seakan-akan benar pula apabila murid SJKC rata-ratanya hanya berjaya mempamer dan mendukung jati diri etnik Cina. Dengan ini, mereka sering dikaitkan dengan etnik Cina dari Tanah Besar China.

Gagal kuasai bahasa Melayu

Sebaliknya jati diri kebangsaan yang perlu menggunakan lambang dan proses sosiobudaya Melayu langsung gagal diperlihat dan diamalkan oleh kebanyakan murid SJKC. Dalam hal ini, ia dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Ini penting kerana bahasa Melayu bukan sajaha bahasa negara ini. Ia juga jati diri budaya yang menghubungkan rakyat dengan negara ini. Selain ini, ia penanda kuat kepada kerakyatan Malaysia.

Dalam konteks ini, ketidakcekapannya dalam kalangan warga negara kita sendiri bukan saja sesuatu yang sangat mengaibkan. Ini amat memilukan kerana bahasa Melayu sebenarnya adalah roh kerakyatan Malaysia. Malah kerakyatan Malaysia itu sendiri dimanisfestasi selain dilindungi oleh bahasa Melayu.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kaum Cina, khususnya murid SJKC untuk benar-benar menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik. Mereka perlu bekerja keras untuk mempertingkat kemahiran berbahasa Melayu. Ia adalah kewajipan setiap warganegara untuk bertutur dalam bahasa negara dengan fasih.

Cadangan kerajaan untuk membantu murid SJKC dalam hal ini perlu diberi kerjasama sepenuhnya oleh kaum Cina. Oleh itu, penyelarasan sukatan pelajaran mata pelajaran bahasa Melayu antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) perlu disambut dengan hati terbuka. Begitu juga halnya tentang peningkatan waktu pendidikan bahasa Melayu.

Dukung jati diri kebangsaan

Semua ini tidak boleh sesekali dicurigai. Ia mempunyai niat baik untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid SJKC. Selain nilai pendidikannya, kemahiran ini pasti akan menjadi murid SJKC lebih nasional.

Kemahiran berbahasa Melayu ini pasti akan memberi perimbangan yang diperlukan oleh murid SJKC agar tidak mudah dicap sebagai antinasional atau kurang sifat perpaduan. Ini kerana selain mempamerkan jati diri etnik Cina, pada masa yang sama mereka ikut mendukung jati diri kebangsaan.

http://www.bharian.com.my