Home Berita Terkini "Tarian Perang" Sarawak
"Tarian Perang" Sarawak PDF Print E-mail
Written by GreenHood   
Friday, 25 March 2011 17:48

"Sarawak is not a foreign to me!". Sekurang-kurangnya itulah gambaran perasaan penulis tentang negeri yang dipisahkan dengan Laut Cina Selatan.

Sewaktu menuntut di sebuah universiti awam tempatan, penulis duduk satu bilik bersama seorang rakan baik yang berasal dari bumi Kenyalang. Kami tinggal sebumbung hampir 3 tahun. Hubungan yang terjalin erat membuatkan penulis pernah menghabiskan masa cuti semester di daerah asal kelahiran sahabat penulis tersebut iaitu Sibu. Dan lanjutan dari itu, ahli keluarga sahabat baik penulis akan tinggal bersama kami di rumah yang kami sewa bilamana mereka mengunjungi Semenanjung Malaysia ini.

Kini, meningkat dewasa penulis dikhabarkan sahabat baik tersebut telah pun selamat diijab-kabulkan dengan seorang wanita dari daerah Bagan Datuk, Perak. Kali terakhir penulis bertemu dengan sahabat baik tersebut adalah pada tahun 2010 sewaktu beliau pulang ke Malaysia untuk seketika sebelum berangkat kembali ke Doha, Qatar kerana bekerja di sana. Sempat memeluk beliau sewaktu menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), penulis berpesan kepadanya untuk menjaga dirinya elok-elok bermukim di negara asing.

Juga sewaktu menjadi penuntut di universiti yang penulis nyatakan di atas, penulis bersama rakan-rakan kelas fakulti di mana penulis belajar juga perrnah mengikuti satu program "anak angkat" di sebuah daerah istimewa di Sarawak. Bayangkan, sebuah kapal-terbang hanya dipenuhi oleh kami sahaja dalam misi murni memberi "khidmat-bakti" kepada sebuah kampung terpilih. Dan kampung tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Kampung Melayu Saratok dalam daerah Saratok, Sarawak. Untungnya penulis, telah terpilih menjadi anak angkat kepada seorang guru besar sekolah rendah yang masih belum berkahwin. Sangat "sporting" orangnya. Kami tinggal di rumahnya yang juga dihuni oleh ayahandanya yang juga merupakan Ketua Kampung dalam kampung tersebut.

Keakraban "keluarga-angkat" ini berpanjangan walaupun program "Khidmat-Bakti" tersebut selesai dalam tempoh dua minggu. Apabila ibu angkat kami yang juga seorang guru besar berkursus di Semenanjung mahupun "makan angin" ke Kuala Lumpur, seringkali beliau menghubungi penulis dan keluarga penulis untuk bertemu.

Oh ya! Hampir sahaja penulis terlupa dengan seorang lagi sahabat baik sewaktu belajar di sebuah sekolah berasrama penuh dalam ibu kota Kuala Lumpur.  Sebenarnya, antara penulis dan sahabat yang seorang ini jauh bezanya dari segi perwatakan dan pembawaan. Penulis merupakan seorang yang "agak nakal" tetapi beliau bolehlah dianggap sebagai "ulat buku" atau "nerd". Penulis merupakan seorang yang aktif dalam sukan terutamanya ragbi dan hoki manakala beliau pula adalah seorang "prefect". Kami jarang-jarang bercakap. Tetapi setiap kali cuti semester atau sahaja cuti hujung minggu, penulis akan mempelawa beliau untuk ikut pulang ke kampung halaman penulis. Begitulah rutinnya selama 5 tahun kami bergelar pelajar sekolah berasrama penuh.

Semuanya gara-gara pesan kedua ibu-bapanya kepada penulis pada tahun pertama kami bersama menjejaki ke sekolah asrama tersebut. Pesan orang-tuanya supaya kami berkawan dan beliau akan ikut penulis ke mana sahaja penulis pergi atau pulang.

Hubungan yang baik ini membuatkan kedua keluarga penulis dan beliau sangat akrab. Terakhir, kedua ibu-bapa penulis telah diberikan tiket penerbangan pergi dan pulang ke Kuching, Sarawak untuk menghadiri persandingan sahabat penulis itu sekitar 7 tahun yang lepas. Tapi entah di mana silapnya, hubungan tersebut terputus bilamana beliau sudah pun bergelar suami kepada seorang wanita. Namun penulis yakin, jika penulis berkelapangan dan menjejaki keluarganya di Kuching, pasti akan bertemu kembali dan penulis akan diterima dengan baik sekali.

Kali terakhir penulis melawati negeri Kenyalang ini adalah pada tahun 2010 apabila penulis telah terpilih mengikuti rombongan media disediakan khusus oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YAB. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi bagi membuat liputan tinjauan beliau ke atas sempadan negara apabila timbul kekecohan antara dua negara (Malaysia-Indonesia) akibat kempen "Ganyang Malaysia" yang dilaungkan oleh Kumpulan Bendera Merah.

Yang nyata, penduduk Sarawak adalah kaya dengan budi bahasanya dan sangat menyanjungi serta menghargai erti persahabatan. Suatu yang agak sukar kini untuk ditemui terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur.

Pilihanraya Negeri Sarawak

Baru sahaja seminggu yang lalu, Ketua Menteri Sarawak mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi memberi laluan kepada proses demokrasi iaitu pilihanraya. Paluan gendang perang telah pun berbunyi. Semboyan telah pun melaung. 6 haribulan April adalah hari penamaan calon-calon dan hari pembuangan undi adalah jatuh pada 16 haribulan April.

Satu-satunya yang penulis sangat ingati tentang budaya Sarawak adalah "tarian perang kaum Iban". Tariannya cukup mengasyikkan. Jika dihalusi tarian tersebut, akan membangkitkan semangat yang amat luar-biasa. Bisa sahaja meremangkan bulu roma penulis yang halus.

Tidak mungkin tarian tersebut boleh ditarikan oleh orang yang bukan datangnya dari bumi bertuah itu. Jika anda bukan orang Sarawak, maka lebih baik anda menjadi penonton dari menjadi penarinya. Anda mungkin boleh meniru untuk menari tarian itu, tetapi rakyat Sarawak tidak sesekali mudah tertipu.

Last Updated on Saturday, 24 September 2011 13:44
 
Copyright © 2013 Kritisonline. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.
 
Who will win ?
 

Android app for KritisOnline