PR meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak terburu-buru untuk menandatangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dengan kerajaan persekutuan.
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Khalid perlu mengambil kira pandangan wakil-wakil PR sebelum membuat sebarang perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan.
 
“Beliau bersetuju memanggil semua Ahli Parlimen dan Adun petang ini (semalam) untuk mengadakan taklimat terperinci mengenai perjanjian persefahaman atau MoU dengan kerajaan persekutuan kerana belum ada taklimat yang serupa dilakukan sebelum ini.



“Kita minta beliau (Abdul Khalid) supaya lebih teliti terutamanya mengenai perjanjian yang bakal ditandatangani,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan PR, di sini semalam.
 
Beliau berkata, Majlis Pimpinan PR menghantar Tan Kok Wai mewakili DAP, Dr Dzulkefly Ahmad (Pas) dan Datuk Saifuddin Nasution (PKR) bagi menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai isu berkenaan.

"Abdul Khalid perlu berbincang berhubung sebarang perjanjian bagi mengelakkan kesan buruk kepada rakyat.

“Tindakan terburu-buru ini akan memberikan kesan lebih besar kepada rakyat kerana melibatkan perjanjian yang melibatkan manifesto, air dan Langat 2,” katanya.

Anwar berkata, apa juga tindakan harus ada perbincangan supaya perjanjian yang terkandung dalam manifesto dapat dikekalkan.

“Pada dasarnya, kita setuju kerana tanpa perjanjian ini, rakyat Selangor akan terjejas terutama bekalan air.

"Kita memberi sokongan untuk meneruskan rundingan tetapi beliau perlu berhati-hati kerana terdapat perkara tertentu dalam perjanjian itu yang dilihat agak samar," katanya.

Sebelum ini Abdul Khalid yang mewakili kerajaan Selangor telah menandatangani MoU  dengan kerajaan persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008.

Menerusi MoU itu, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) dan memastikan semua kelulusan dan kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh MoU ditandatangani.

 

SINARHARIAN