Home Berita Terkini Isu Pertukaran Tanah – Tanah Awam dikorbankan untuk keuntungan Swasta?
Isu Pertukaran Tanah – Tanah Awam dikorbankan untuk keuntungan Swasta? PDF Print E-mail
Written by admin   
Wednesday, 22 August 2012 11:30

 

Pada sidang Parlimen April lepas, saya telah bertanyakan tentang isu pertukaran tanah yang menyebabkan para penduduk Brickfields kehilangan Ibu Pejabat Polis Daerah yang telah berbakti selama 30 tahun. Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengesahkan bahawa:

a) Sejak 2 Mac 2012, tanah tersebut yang dikenali sebagai PT 20 (Lot 18) Seksyen 94A Bandar Kuala Lumpur (BKL) masih kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Wilayah Persekutuan tetapi akhirnya akan berpindah milik kepada entiti swasta, Primamuda Holdings Sdn. Bhd.

b) Pertukaran tanah (land swap) di mana tanah tersebut akan ditukarkan dengan pembangunan Balai Polis Jalan Travers dan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah bagi menggantikan IPD Brickfields.

Sungguhpun begitu, saya telah meminta kerajaan mengesahkan bahawa pertukaran tanah asal melalui keputusan Kabinet pada 21 September 2005 melibatkan Lot 55, Jalan Travers, Bukit Persekutuan, bukan tanah di Brickfields. Pada waktu itu, para penduduk Bukit Persekutuan yang terjejas berjaya menghalang pertukaran tanah yang menswastakan tanah insitusi, selaras dengan Polisi CF3 dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 untuk “memastikan bahawa setiap tanah kerajaan digunakan oleh kerajaan atau sebagai kemudahan awam.”

Para penduduk Brickfields tidak begitu bernasib baik. Kelihatan bahawa tanah milik awam akan secara mudah ditukarkan untuk meraih keuntungan dengan secara biadab dan rakus, melibatkan bukan satu, tetapi dua lokasi yang disemak semula. Jika benar, ia akan menunjukkan sifat diskriminasi di dalam keputusan tersebut – jika pertukaran tanah itu tidak sesuai buat penduduk Bukit Persekutuan, mengapakah ia disesuaikan dalam sebuah kawasan yang sesak dan padat dengan penduduk, yakni Brickfields?

Menteri Wilayah Persekutuan, bagi pihak Kabinet, harus mendedahkan pengurusan pertukaran tanah yang sebernarnya, syarat-syaratnya, dan kos yang ditanggung oleh pemaju dalam mendapatkan tanah bernilai tinggi tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan juga harus menggantikan pondok polis yang dirancang dengan sebuah balai polis yang dapat berkhidmat dan memenuhi keperluan para penduduk Brickfields. Sebarang pekara yang kurang dari itu adalah merugikan dan merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap perkhidmatan awam...

Akhir kata, kami meminta Menteri Wilayah Persekutuan mendedahkan semua pertukaran tanah institusi awam yang serupa, sama ada yang telah dibuat atau  dalam perancangan. Semua tanah institusi awam dan lokasi sebenar perlu disenaraikan kepada umum agar rakyat boleh mengemukakan cadangan dalam pertukaran tanah, contohnya seperti yang dilakukan Ketua Wanita Bukit Bintang, Senator Mariyani Yit.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN

 

MALAYSIA NEWS NURUL IZZAH TANAH AWAM SWASTA

 
Copyright © 2013 Kritisonline. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.
 
Who will win ?
 

Android app for KritisOnline