|
Perkara pertama yang perlu diketahui mengenai Sarawak adalah "sungai". Sarawak merupakan satu-satunya negeri dalam Malaysia yang punyai beratus cabang sungai dengan Sungai Rajang menjadi sungai utama dan terpanjang iaitu sejauh 563km yang menyambungkan Laut Cina Selatan hingga ke pendalaman Sarawak. Kapit dicatatkan sebagai hulu sungai yang paling jauh boleh dimudiki. Dengan keluasan muka-bumi berjumlah 124,449 km persegi, Sarawak menjadi negeri terbesar yang pernah wujud selepas Sabah (73,613 km persegi). Bahkan kombinasi dua negeri di kepulauan Borneo ini mengatasi mana-mana keluasan negeri yang ada di Semenjung Malaysia. Pahang yang dicatatkan sebagai negeri terbesar di Semenanjung pula hanya punyai keluasan berjumlah 35,960 km persegi - tidak sampai satu pertiga dari keluasan negeri Sarawak.
Mengikut bancian terakhir tahun 2010, kepadatan penduduk dikira dengan keluasan sesebuah negeri meletakkan Sarawak pada kedudukan yang paling bawah iaitu 22 orang /km - jauh dari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) iaitu 6,920 orang /km. Kepadatan penduduk yang terlalu sikit ini membuatkan jalanraya bukanlah sebagai "jalan penghubung utama" - sebaliknya sungai telah dikenal-pasti semenjak dahulu lagi sebagai jalan-penghubung yang efisien dan murah. Bayangkan sahaja jika 1 km jalan-raya bertaraf "super-highway" menelan belanja tidak kurang dari RM3 juta tetapi di kiri dan kanan "super-highway" tersebut hanyalah hutan belantara yang dihuni oleh haiwan-haiwan buas dan mergastua. Ianya adalah suatu yang tidak praktikal dari sudut ekonomi oleh mana-mana pakar ekonomi dalam dunia sekali pun.
Menyentuh perihal ekonomi Sarawak pula, pertanian dan perikanan adalah sumber pekerjaan utama rakyatnya walaupun setelah minyak dikenal-pasti terdapat di negeri tersebut terutamanya di Miri. Mungkin atas faktor budaya dan etnik menyebabkan perkembangan pendidikan agak perlahan terutama suku-suku kaum tertentu yang tidak mahu atau "agak berat" untuk meninggalkan kawasan kelahirannya iaitu pendalaman Sarawak untuk menimba ilmu dan seterusnya memahiri secara khusus bidang pekerjaan yang berkaitan industri minyak. Justeru, 40,000 km persegi yang dikenal pasti sesuai bagi tanaman kekal di Sarawak telah dimajukan mengikut industri pertanian tersebut seperti sawit, padi, sagu dan lada hitam. Namun, sehingga kini hanya 16,000 km persegi yang dicatatkan diusahakan secara gigih sebagai ladang pertaniana kekal sedangkan ramai lagi rakyatnya terutama mengikut suku etnik kaum tertentu bercucuk tani secara tanaman-kontan. Selebihnya, mereka juga menjadi nelayan bagi mencari sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
Jika bertanyakan tentang suku kaum, Sarawak dan Sabah merupakan negeri yang punyai suku kaum terbanyak pernah direkodkan dalam mana-mana sejarah Malaysia. Di Sarawak sahaja tidak kurang dari 20 suku kaum yang dikenal-pasti wujud dan aktif antaranya ialah Berawan, Bidayuh, Bisaya, Cina, Iban, Jawa, India, Kajang, Kayan, Kedayan, Kijaman, Kelabit, Kenyah, Kiput, Lun Bawang, Melananu, Melayu, Murut, Penan, Punan, Saban, Sikh dan banyak lagi.
Faktor suku kaum yang terlalu banyak dengan sistem undang-undang adat yang berbeza kadang-kala seperti mustahil bagi mana-mana pemimpin untuk menyatukannya. Tidak hairanlah, jika James Brooke hanya dapat bertahan seketika sahaja menjadi "Rajah" kepada negeri Sarawak sebelum akhirnya menyerahkan kembali negeri unik ini kepada pemerintah tempatan. Mungkin juga asakan demi asakan dari pahlawan-pahlawan Sarawak seperti Rentap dan Sharif Mashoor melunturkan semangat "Rajah Kulit Putih" itu. Keunikan Sarawak ternyata semakin terserlah bilamana negeri ini terlibat dalam kontroversi dua negara iaitu Malaysia-Indonesia dalam "Konfrontasi Indonesia" pada tahun 1962 dan 1966. Kemasukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 telah menyelamatkan negeri tersebut dan seterusnya mengamankan negeri itu dengan anak-tempatan diberi kuasa yang besar dan hampir penuh untuk menentukan hala-tujunya sendiri sebagai pemimpin negeri tersebut.
Setelah 48 tahun kemasukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan kini dengan kehangatan pilihanraya negeri yang ke-10, saya sebenarnya tertanya-tanya apabila kuasa-kuasa yang seakan "Rajah Putih" dari semenanjung dan menggelarkan mereka sebagai Democratic Action Party (DAP), Parti KeAdilan Rakyat (PKR) mahupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) begitu ghairah mengenepikan mana-mana parti politik tempatan yang sudah sekian lama wujud seolah-olah tiada rasa hormat kepada anak tempatan. Mungkin perkara yang sama mahu saya tujukan kepada Barisan Nasional (BN); tetapi tiada pula parti komponen (BN) dari tanah Semenanjung yang begitu ghairah mahu bertapak untuk saya tegur - kerana bagi mereka komponen yang diwujudkan oleh anak tempatan seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United People's Party (SUPP) dan lain-lain lagi sudah cukup baik dan apa yang penting adalah kolaborasi parti tempatan dan parti-parti dari Semenanjung di bawah panji Barisan Nasional (BN).
Mungkinkah ada pihak yang lupa, hanya sungai Sarawak yang ada "Bujang Senang" dan "Bujang Senang" itu hanya wujud di Sarawak?
Jika ada yang terlupa, munkin rakyat Sarawak boleh mengingatkannya!
|