Semenjak tahun 1998 – semenjak bergolak politik Malaysia hasil dari pertembungan UMNO dengan Anwar Ibrahim perkataan konspirasi semakin meniti bibir-bibir semua kita yang terpalit dengan politik tanah air. Ulasan konspirasi – teori yang mahu mengatakan dan membenarkan konspirasi  semakin menular. Apa sahaja yang mampu menyentuh politik – mampu memberi loncatan politik – apa saja yang mahu menafikan – mahu menuduh maka konspirasi adalah perkataannya. Malah dalam krisis juga kita membahasakan perkataan konspirasi – krisis air –  keputusan perundangan sehingga kepada krisis kehilangan pesawat MAS – turut mengundang perkataan konspirasi. Semakin popular dan semakin sinonim dengan keadaan dan persekitaran politik hari ini. Malah dalam apa sahaja yang melibatkan pentadbiran negara – perkataan konspirasi akan terselit dengan tuduhan niat – niat tertentu – khususnya untuk menguatkan lagi kedudukan politik baik individu mahupun parti.

Kita gugurkan sementara – prasangka dalam membicarakan krisis – gugurkan seketika perkataan konspirasi dalam menangani isu kehilangan pesawat MAS yang melibatkan persoalan nyawa dan rintihan keluarga mereka yang terlibat. Kita singkirkan apa yang menjadi spekulasi – melibatkan konspirasi – kerajaan BN melakukan kerana tersepit – pembangkang mengaturkan kerana kekalahan dalam kes Anwar Ibrahim – Saiful Bukhari dan antara yang terbaru adalah krisis dalam BN melibatkan usaha menurunkan Najib Tun Razak dari terus menerajui pemerintahan negara serta teori yang bakal mengatakan kegagalan Najib dalam mengendalikan isu krisis kehilangan pesawat ini. Seakan berita sensasi – seakan gosip dan seakan dahsyat teori – teori yang akhirnya berlandaskan perkataan konspirasi.

Kita terima – kenyataan kehilangan pesawat tersebut – kita doakan semuanya dapat berakhir dengan baik dan selamat – kita tegur secara berhemah – kita perbetulkan apa yang dikatakan kelemahan pengurusan krisis – kita perbaiki dan kita berusaha memperbaiki tetapi kita jarakkan tuduhan dan lemparan konspirasi dalam kejadian dan peristiwa hitam kehilangan pesawat. Kita kendurkan spekulasi dan kita teliti semua dengan harapan dan mengharapkan kebaikan dan keselamatan. Adakah itu terlampau sukar atau sebenarnya terlampau membosankan. Adakah kerana kebosanan itu maka kita terus menerus mahu mengaitkan krisis itu sebagai konspirasi politik dalaman. Kalau itu yang menjadi satu tarikan kenapa tidak kita bicara krisis itu sebagai satu helah konspirasi politik dunia – antara kuasa-kuasa besar dan antara isu perebutan pengaruh dan tuntutan – adakah tidak ia lebih besar – lebih menarik dan lebih banyak menimbulkan persoalan. Maka konspirasi politik antarabangsa – menjadi bicara dan tidak kelemahan dan akhirnya tuduhan kealpaan kerajaan negara ini – malah memalukan negara sendiri dalam mengendalikan krisis ini.

Memang yang sebetulnya – kita perlu berusaha dan terus menyokong kerajaan dan kerajaan perlu juga peka mendengar rintihan dan cadangan dalam memperbaiki lagi usaha dalam mengendalikan pengurusan krisis sekiranya wujud lagi – sungguhpun didoakan tidak. Tolak sentimen berpolitik dan ini akan menghakis sensasi konspirasi. Apa pun kita teliti setiap berita yang diterima – kita lihat dengan penuh prihatin tetapi tidak perlu kita mengaulkan perisa-perisa tambahan dalam membicarakan isu ini. Kita mahukan yang terbaik dan kita amat perlu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku secara terbuka dan telus. Kita rakyat Malaysia terus mendoakan yang terbaik.