BARU-baru ini Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Selangor, telah mengambil lapan langkah yang dikenali sebagai langkah ‘jihad perangi orang tengah’.

Beliau mengatakan bahawa peranan orang tengah inilah yang mencetuskan masalah kepada kaum nelayan dengan ikatan dan bebanan hutang dengan kelompok peraih ikan.

Justeru beliau mengambil inisiatif dimana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional akan mengambil alih hutang-hutang mereka. “Di samping nelayan menangkap ikan, mereka boleh bayar balik hutang-hutang mereka”. Demikan rasional Pengerusi LKIM ini.



Saya tak pasti adakah beliau benar-benar sedar bahawa masalah nelayan ini sangat kompleks.

Dapatkah TEKUN jalankan peranan?

Pertama, hubungan antara kumpulan nelayan dengan peraih ikan ini sudah lama, ia ibarat isi dan kuku, ikan dengan air atau bot dengan juragannya.

Maksud disini ialah, hubungan erat ini bukan terbentuk kerana wang atau hutang tetapi ‘perkhidmatan’. Saya sendiri turun ke kawasan nelayan dan mendengar sendiri masalah ini.

Bayangkan, tauke-tauke peraih ini mampu memberi perkhidmatan pinjaman wang pada bila-bila masa, 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

Hubungan tauke-tauke peraih ini sudah sangat dalam hingga ia menjadi tempat tumpuan untuk mendapatkan bantuan pinjaman kewangan mahupun wang pendahuluan setiap masa.

Pernah nelayan-nelayan berseloroh dengan saya mengatakan setiap kali nelayan datang pada waktu tengah-tengah malam untuk minta bantuan kewangan, tauke sanggup bangun dan menghulurkan bantuan tanpa melihat muka nelayan ini kerana, dari suara nelayan itu, peraih sudah kenal siapa nelayan itu.

Beginilah dalamnya hubungan antara nelayan dan peraih ikan yang dianggap musuh yang harus diperangi atau ditolak oleh Pengerusi LKIM.

Sedarkah pengerusi LKIM ini, ada nelayan yang kesempitan wang pada malam-malam buta kerana anak sakit nak masuk hospital atau terputus bekalan ubat dan susu, adakah kakitangan TEKUN mampu melayan segala macam keperluan nelayan dengan lebih baik lagi dari para peraih ikan? Bukankah agensi seperti TEKUN bekerja ikut waktu pejabat?

Mungkin soalan ini berbunyi picisan, tetapi semua soalan-soalan ini sangat releven ditanya untuk menilai sejauh mana langkah LKIM ini akan dapat menyelesaikan masalah yang sebegini kompleks.

Disamping itu, kita semua sudah sedia maklum bahawa TEKUN adalah agensi yang ‘mesra’ kepada penyokong dan ahli UMNO BN, ini pernah diakui sendiri oleh CEO TEKUN.

Bukankah ini akan pastinya memberi kesan kepada nelayan lain yang tidak menyebelahi mana-mana parti termasuk yang tidak menyokong parti UMNO BN. Pastinya mereka ini akan menjadi mangsa, penyudahnya matlamat LKIM akan gagal dicapai.

Namun, dari semua hujah ini, kita tidak sekali-kali mengatakan bahawa orang tengah atau peraih ikan ini baik atau betul sebaliknya maksud kita adalah hubungan yang terbina sejak sekian lama ini telah membenam dalam cara hidup kaum nelayan.

Ya, kita sedar kerja orang tengah ini memain faktor turun naiknya harga ikan dan juga ia jadi faktor kepayahan hidup nelayan. Tetapi untuk menukar atau memeranginya juga bukan suatu tindakan yang mudah dan tak semestinya bijak.

NEKMAT jadi orang tengah

Berkaitan dengan langkah menjadikan NEKMAT atau NAFAS atau FAMA sebagai peraih baru untuk menggantikan peranan peraih-peraih ini. Kita melihatnya diatas kertas sebagai langkah yang sangat baik. Tetapi kita juga masih tidak lupa apa yang telah terjadi dengan Majuikan SB.

Syarikat ini juga memain peranan yang sama dengan NEKMAT, tetapi laporan audit Negara 2011 menunjukan prestasi syarikat teruk. Ia mengalami kerugian lima tahun berturut-turut.

Prestasi kewangan tidak memuaskan, hinggakan pihak audit mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengkaji daya maju Syarikat Majuikan Sdn. Berhad dan syarikat subsidiarinya supaya tidak menjadi liabiliti kepada Kerajaan. Maksudnya, gulung tikarlah.

Jadi dalam hal seperti ini, siapakah yang paling rugi? Siapa lagi jika bukan pembayar cukai – rakyat.

Semua hujah ini bukan sekadar mahu mengkritik. Masalah nelayan tidak boleh diselesaikan hanya dengan lapan langkah tersebut, tak semudah itu dan tak semestinya begitu.

Pendekatan terhadap masalah yang kompleks

Hal ini memerlukan satu pendekatan baru secara lebih berhati-hati untuk mengelak dari berlaku kegagalan seperti dahulu. Tidak ada jalan singkat untuk menyelesaikannya malah tidak ada penyelesaian mutlak untuk masalah ini. Namun ia tetap boleh diselesaikan.

Jika kita lihat peruntukan kerajaan menerusi Bajet 2014 yang lalu, untuk industri pertanian sahaja sebanyak RM 6 billion diperuntukan.

Malah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memohon peruntukan RM2 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek untuk nelayan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang lalu.

Kita percaya bahawa dengan segala peruntukan yang sebegini banyak, seharusnya masalah nelayan yang miskin ini dapat lebih membantu, bukan sekadar memberi pinjaman untuk beli bot, enjin bot, jala, subsidi diesel dan bantuan RM 200 sebulan.

Masalah sebenarnya ialah masalah ketirisan dalam sistem pentadbiran kerajaan terutamanya oleh agensi penguatkuasa, agensi pemberi pinjaman dan dana. Ini mestilah diatasi terlebih dahulu.

1. Sistem penyampaian bantuan kerajaan menerusi agensinya mesti telus, cekap dan betul. Ini bukan satu proses yang pendek dan mudah
Sistem pemantauan terhadap aktiviti penangkapan ikan serta akta-akta perlindungan maritim dan alam sekitar yang mempunyai kesan langsung terhadap tangkapan ikan dan nelayan wajib cekap denga sumber yang mencukupi dan ia mesti dibuat.

2. Masalah industri perikanan juga banyak bergantung kepada keadaan alam sekitar selain cuaca. Pembangunan yang seiring dengan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar amat penting.

3. Setiap projek-projek persisir pantai wajib mengambilkira kesan ekologi sesuatu kawasan. Memang pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi kesannya boleh diminimumkan sekiranya ada ketelusan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Lihat contoh di Tanjung Kupang perairan Selat Johor.
Dalam semua faktor-faktor ini, ia telahpun ada dalam agenda kerajaan tetapi soalnya, adakah ia telah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan? Semua ini banyak bergantung dengan tahap integriti agensi kerajaan.

Jika kerajaan punya peruntukan kewangan yang banyak sekalipun, punya sistem komunikasi yang hebat atau peralatan yang canggih, ia tetap belum mampu menyelesaikan masalah kemiskinan dikalangan golongan nelayan secara jangka panjang.

Lapan langkah yang ditetapkan oleh LKIM ini hanyalah Panadol untuk penyakit kanser, seperti kata Tony Pua. Begitu juga dengan rasional langkah ini diambil mengenai masalah orang tengah dan ekonomi nelayan, seprti kata Liew Chin Tong, masalah ekonomi tidak boleh diselesaikan dari makmal.

Lapan langkah ini hanya untuk menjustifikasikan bahawa ‘UMNO telah bekerja untuk rakyat khususnya golongan nelayan atau UMNO telah berusaha bantu nelayan’. Penyudahnya, kita sekali lagi akan melihat bagaimana UMNO menggunakan apparatus daulah (agensi kerajaan) untuk menjustifikasikan tindakan mereka ini. Hasilnya kita sudah boleh mengagak, gagal.

MAHDZIR IBRAHIM, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAPSY, juga seorang peminat seni dan kebudayaan.

 

ROKETKINI