Home Pilihanraya Umum Ke 13 TPM mahu jumpa UMNO bahagian bermasalah
TPM mahu jumpa UMNO bahagian bermasalah PDF Print E-mail
User Rating: / 0
PoorBest 
Written by admin   
Monday, 16 July 2012 08:30

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan UMNO bahagian yang bermasalah bagi menyelesaikan isu dalaman bahagian berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, pertemuan tersebut akan diadakan pada Ramadan ini bagi membolehkan pelbagai isu diselesaikan secara baik untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti.

''Kita tahu ada masalah. Misalnya di Kedah apabila kita kalah dalam pilihan raya umum lalu dan apabila disemak kenapa kalah, ia bukan disebabkan Pas kuat tetapi berlaku 'cah keting' dalam UMNO.

''Dia sabotaj. Macam mana calon dewan undangan negeri (DUN) boleh menang tetapi wakil kita di Parlimen kalah. Ini jelas ada yang tak amanah dan tak sokong calon-calon yang kita letak. Perkara ini perlu kita uruskan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa II, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bilangan UMNO bahagian yang bermasalah adalah kecil dan boleh diselesaikan secara baik.



''Saya sudah atur siri-siri pertemuan pada bulan puasa ini. Kita boleh duduk bincang dan bercakap terus terang. Kita nak ingatkan setiap kawasan adalah penting. Penting dalam soal kembalikan kuasa kita,'' jelasnya.

Katanya, tugas sebagai pemimpin di peringkat bahagian adalah penting dan tumpuan ketika ini harus dihalakan kepada gerak kerja pilihan raya.

Beliau berkata, mereka seharusnya memahami dan pandai membaca sikap pengundi.

''Cuma yang susah adalah parti-parti komponen yang mewakili kaum terutama MCA dan MIC yang perlu tahu membaca sikap pengundi masing-masing.

''Kenapa MCA tidak boleh baca sikap pengundi Cina? Apakah pengundi Cina cukup berahsia? Mereka memang tak akan beritahu tetapi ada caranya kita boleh menilai sikap pengundi itu,'' katanya.

Beliau kemudiannya mengingatkan para pemimpin UMNO tentang amanah yang diberikan dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu.

''Mengapa kita memilih untuk lantang memperjuangkan orang Melayu sedangkan kita boleh duduk di rumah bersantai, menonton televisyen? Kenapa kita pilih untuk menjadi pemimpin UMNO kalau tidak untuk berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara,'' tegas beliau... - UTUSANONLINE

 

 

MALAYSIA NEWS TPM MUHYIDDIN YASSIN BAHAGIAN BERMASALAH UMNO

 
Copyright © 2013 Kritisonline. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.
 
Who will win ?
 

Android app for KritisOnline