|
Kurang dari 12 jam tempoh berkempen bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke 10 akan tamat sebelum proses demokrasi diteruskan melalui undian. Kesemua pihak yang bertanding terutamanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dilihat semakin menggandakan usaha bagi memancing undi rakyat Sarawak.
Menurut sumber Malaysiakini, BN dijangka mudah memenangi 28 kerusi DUN yang kebanyakan di kawasan Melayu/Melanau, manakala PR memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan pengundi majoriti kaum cina di Miri, Sibu dan Kuching dijangka akan memenangi 19 kerusi. Manakala 24 kerusi lagi masih belum dipastikan atas beberapa faktor termasuk Ba’Kelalan, Belaga, Pelagus, Beting Maro, Opar, Bengoh and Telang Usan walaupun jangkaan terkini memihak kepada Barisan Nasional.
Satu sumber dalaman jentera sebuah parti menjangkakan BN akan memenangi 48 DUN dan PR pula dengan 23 DUN. Kempen terakhir malam nanti juga mampu mengubah senario dan trend pengundi.
Pakatan Rakyat lebih selesa jika mampu menafikan 2/3 majoriti di Sarawak yang selama ini dianggap 'Fix Deposit' bagi membawa angin perubahan balik ke Semenanjung Malaysia dalam persedian menghadapi PRU 13 nanti. BN sudah pasti mahu mengekalkan penguasaan di Sarawak sebagai bekalan tambahan dan pencetus kebangkitan akhir setelah prestasi merosot semasa PRU 12 2008.
Apa yang menarik kali ini ialah perebutan undi kaum Dayak dan Iban yang boleh menjadi penentu kepada keputusan akhir. Begitu juga kehadiran Perdana Menteri bersama sebahagian besar jemaah kabinetnya. Tidak kurang juga para pemimpin tertinggi pembangkang dari Semenanjung Malaysia termasuk dari PKR, DAP dan PAS dikerah menyertai kempen PRN Sarawak.
Pesta demokrasi ini turut dimeriahkan di laman sosial media Facebook, Twitter dan blog dengan laporan berita terkini dan provokasi untuk siaran semua pihak. Menurut tinjauan KritisOline, ramai kalangan pemimpin BN dan PR memanfaatkan laman Twitter untuk melaporkan perkembangan terkini aktiviti mereka.
Masa semakin suntuk bagi semua pihak yang terlibat secara langsung unuk melakukan anjakan terakhir sebelum tirai kempen berakhir. Namun begitu, biarlah rakyat Sarawak menentukan nasib mereka sendiri. Dan kita semua wajar menghormati keputusan mereka nanti. -KritisOnline
|