Beberapa hari sebelum menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang pada 23 Mac ini, BN terus memperkemaskan jentera dan aktiviti turun padang untuk bertemu pengundi.

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, pihaknya terus mempergiatkan usaha dan bersama jentera BN berkempen di bandar Kajang serta Sungai Chua.

Menurutnya, walaupun menyedari calon BN terpaksa bersaing dengan calon lebih dikenali, namun peluang untuk BN menang masih ada.



“Kita sedar daripada segi rekod, Kajang bukanlah kawasan BN. Tetapi melihatkan 'mood' semasa, tidak mustahil untuk calon BN memberikan saingan sengit, sekarang ini boleh dikatakan peluang itu 50-50.

“Apabila kita turun kempen, kita nampak ada perubahan. Tambahan pula calon yang kita ketengahkan adalah calon muda dan bersih, selain mempunyai kelayakan tidak kurang hebatnya,” katanya, semalam.

Ditanya mengenai cabaran dihadapi, Zaitun berkata, antara kesukaran terpaksa dilalui jentera BN negeri adalah menjejaki pengundi Cina kerana ada antaranya sudah bertukar penghuni dan beberapa masalah lain.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bukanlah masalah bagi mereka kerana mendapat kerjasama baik daripada jentera BN yang lain.

“Sekarang ini, kita ‘jaga’ pengundi Melayu yang jumlahnya 402 orang di Sungai Chua 1, Sungai Chua 2 (78) dan bandar Kajang (72) .

“Sepanjang kempen, kita nampak ada kesedaran dan keyakinan terhadap BN. Ditambah pula dengan isu peribadi melibatkan pembangkang yang sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

 

SINARHARIAN